INSTITUSI masjid diakui sebagai medan dan lambang tertegaknya syiar Islam. Ia adalah tempat mulia lagi suci yang wajar diberikan perhatian selayaknya kerana selain tempat ibadah, di sinilah pusat pengembangan ajaran Islam, lokasi perhimpunan perpaduan umat serta institusi penyebaran ilmu kehidupan dunia dan akhirat.


Abu Muhammad Ala’uddin (2006) dalam bukunya bertajuk Kemuliaan Masjid Anjuran Solat Berjamaah dan Memakmurkannya menyuarakan beberapa cara mengimarahkan masjid antaranya mendirikan masjid di kawasan dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam bersolat jemaah.

Menolong dan memberi bantuan kepada kepada masjid yang sudah didirikan, memuliakan masjid dengan menggalak dan mengadakan majlis ilmu didalamnya serta menjaga dan melaksanakan peraturan dan adab ketika di masjid.



Remaja dan tarbiah adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan. Fungsi masjid sebagai pusat tarbiah remaja adalah untuk membangun jati diri dan kepemimpinan muda untuk masa hadapan. Jati diri seorang insan sebenarnya boleh dibentuk menerusi latihan kepemimpinan yang akhirnya membentuk fikrah pemimpin Islam.

Lantas, terbentuklah idealisme pimpinan Islam yang mampu membawa agama suci menuju kecemerlangan. Jati diri tidak semestinya terbentuk melalui ibadat solat dan mendengar khutbah semata-mata. Usrah dan program tarbiah kepemimpinan dianjur pihak masjid akan menyediakan pemimpin pelapis yang hebat menerajui tonggak kepemimpinan negara.

Program ilmu Usuluddin juga sepatutnya menjadi ilmu penting. Ia bagi meningkatkan kepercayaan remaja terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah. Keyakinan inilah kelak menjadi benteng kepada segala ancaman akidah yang melanda remaja.

Hari ini ancaman akidah semakin berani mengasak minda remaja. Berapa ramai remaja Muslim yang cerdik berjaya dipesongkan akidah dan akhlaknya apabila berada jauh daripada keluarga. Justeru, masjid memainkan peranan menyediakan pengisian yang meningkatkan ketauhidan yang satu.

Sememangnya masjid muncul sebagai landasan melahirkan modal insan beriman dan bertakwa. Modal insan Islami yang ingin diwujudkan ialah kelompok intelek muda yang hebat mindanya tetapi rapat dengan masjid.

Bagi mewujudkan masjid yang mesra remaja, pihak pengurusan masjid dan surau harus melakukan anjakan paradigma serta minda. Remaja dan golongan muda harus disantuni dan diberi peluang melakukan aktiviti. Masjid kini bukan saja tempat ibadat tetapi bersifat pusat sehenti sosial Islam.

Setiap pentadbir masjid perlu memahami keperluan dan kehendak remaja setempat. Kehendak mereka mungkin berlainan berdasarkan status sosioekonomi serta latar belakang keluarga. Justeru, kehendak mereka dirai dan peluang disediakan supaya remaja tidak terasa disisihkan oleh masyarakat.

Penstrukturan semula jawatankuasa remaja dan belia perlu mengambil kira suara orang muda. Pandangan mereka diraikan, sebahagian daripada remaja dan belia dilantik sebagai sebahagian ahli jawatankuasa masjid. Ini peluang secara langsung untuk remaja menyampaikan idea.

Aspek kemudahan asas dilihat sebagai banyak membantu keperluan program latihan remaja di masjid. Antara kemudahan perlu disediakan (mengikut kemampuan) adalah ruang atau bilik rehat remaja, kemudahan bilik seminar, pusat sumber serta makmal komputer dan multimedia.

Jalinan dengan segenap ahli masyarakat perlu dititikberatkan. Ahli masyarakat kalangan profesional, ulama, pemimpin masyarakat perlu bersama dengan pihak masjid membangun sumber manusia muda ini.

Program secara kerjasama dengan jawatankuasa penduduk perlu kerap diadakan bagi mewujudkan suasana harmoni dan rasa tanggungjawab terhadap remaja.

Bagi memperkasakan masjid supaya mesra remaja, beberapa strategi pemantapan perlu diambil kira termasuk memperluaskan jaringan kerja antara pertubuhan bukan kerajaan Islam dan pihak masjid.

Penubuhan Kelab Remaja Masjid akan menjadikannya wadah untuk pihak pengurusan masjid dan remaja mengadakan aktiviti, berhimpun, bertukar idea di samping bertukar fikiran.

Perluasan fungsi masjid seperti menjadikannya pusat latihan dan khidmat kaunseling untuk masyarakat khususnya golongan remaja.

0 comments:

Post a Comment